Archive for 26 Februari 2008

Rahsia yang perlu dijaga…..

Februari 26, 2008

Malam pasangannya siang,
Jaga pasangannya tidur,
Rajin pasangannya malas,
Dan lelaki pasangannya perempuan

Kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki,
maka Allah telah menciptakan bentuk badan wanita itu dapat memikat hati lelaki.
Bila berkata tentang terpikat,
maka ia ada hubung kait dengan nafsu.
Jika ia ada hubungkait dengan nafsu,
ianya ada hubungan pula dengan bisikan syaitan.

Jadi untuk mengawal nafsu, mestilah dikawal dengan iman.
Untuk mendapatkan iman mesti menurut perintah Allah dan RasulNya dan menjauhi
laranganNya.
Pada mata lelaki, perempuan ini adalah simbol.
Simbol apa, semua orang tahu.
Orang lelaki mempunyai imaginasi yang nakal jika tidak dikawal dengan iman.
Maka mata lelaki ini selalu menjalar apabila terlihat seorang perempuan.

Setiap bentuk badan seorang perempuan boleh dihayati oleh seorang lelaki dengan berbagai-bagai tafsiran nakal nafsu.
Apabila seorang lelaki terlihat seorang perempuan, maka perkara pertama yang
akan dilihatnya ialah rambut wanita berkenaan

Maka akan ditafsirlah berbagai2 cara oleh seorang lelaki akan rambut wanita
berkenaan.
Oleh kerana itulah wanita wajib menutup rambutnya.

Apabila rambut wanita itu telah ditutup, maka mata lelaki itu akan turun ke bawah
melihat bentuk lehernya, maka wajiblah wanita itu menutup lehernya.
Maka mata lelaki itu akan turun lagi melihat bentuk payu daranya, maka wanita itu berkewajipanlah menutup bentuk payu daranya dengan melabuhkan tudungnya.

Setelah itu mata lelaki akan turun lagi melihat bentuk ramping pinggangnya, maka labuhkanlah pakaian supaya tidak ternampak bentuk pinggangnya, maka mata lelaki itu akan melihat pula akan bentuk punggungnya, maka wajiblah wanita itu membesarkan pakaiannya agar bentuk punggung tidak kelihatan, dan lelaki itu akan pula melihat bentuk pehanya, maka janganlah sesekali wanita itu memakai kain yang agak ketat sehingga terlihat bentuk pehanya walau sedikit, maka akan dilihat lagi oleh lelaki itu akan bentuk kakinya pula, maka janganlah wanita itu berseluar, kerana terus-terang pihak lelaki bercakap, walau muslimah itu bertudung labuh, berbaju labuh, jika beliau memakai seluar,walau nampak besar sedikit, nafsu kami lelaki akan terusik secara sepontan, entah tak tahu Kenapa?

Mata lelaki ini nakal, setelah tidak ternampak akan bentuk kakinya, maka akan dilihatlah pula akan mata lelaki itu kepada kakinya, maka wajiblah wanita itu untuk
menolong lelaki itu tidak berdosa, menutup kakinya dengan melabuhkan kain, atau memakai stokin yg warnanya jangan sesekali berwarna kulit perempuan, maka mata lelaki ini akan kembali ke atas, akan melihat pula bentuk tangan wanita itu, maka tolonglah wahai muslimah, agar melabuhkan tudung menutupi bentuk tangannya yang indah pada pandangan lelaki.

Maka mata lelaki ini akan kembali ke atas, akan melihat pula bentuk tangan wanita.

20 Perkara Yang Membuatkan Wanita Membenci Lelaki

Februari 26, 2008


Ntah ler betul ke idak nie macik2  dan sesape je lah cuba kasik pendapat korang betul ke idak nih???
banyak sangat nie kompius aku

1. MENINGGIKAN SUARA

Tahulah mereka dikurniakan suara yang ‘macho’ tapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.

2. MAIN KAYU TIGA

Bab main kayu tiga ni masalah paling besar. Walaupun dah ada kekasih, mereka sukar untuk setia. Apatah lagi kalau digoda, terus disambar tanpa mempedulikan perasaan kekasihnya.

3. SUKA ‘CUCI MATA’

Kebanyakan lelaki sukar mengawal mata (mata keranjang). Pantang jumpa perempuan cantik dan seksi mulalah mata tu macam nak terkeluar. Walaupun sedang bersama kekasih, si dia tidak akan peduli. Bagi mereka tidak salah kalau sekadar mencuci mata tetapi hati kekasih kenalah jaga juga cik abang!

4. MENGONGKONG

Itu tak boleh, ini tak boleh, sikit-sikit nak kontrol. Segala gerak-geri kekasih dikawal, sampaikan nak berpakaian pun harus ditentukan. Kalau nak keluar ke kedai pun kena repot dulu, kalau tidak mulalah tercetusnya pertengkaran kerana hal sekecil itu. Tetapi, mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka disoal siasat oleh kekasih mereka… Macammana tu?

5. EGO

Ini merupakan masalah paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Keegoan dan lelaki memang tak dapat dipisahkan. Tetapi ada kalanya lelaki menjadikan keegoan sebagai alasan untuk mereka bertindak tanpa mempedulikan perasaan si gadis. Keegoan membuatkan lelaki mempunyai kuasa veto dalam kehidupan mereka termasuklah memimpin kaum wanita. Tidak salah mempamerkan ego tetapi biarlah kena pada tempatnya.

6. MENIPU

Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tak munasabah. Sanggup memungkiri janji dan memberikan alasan yang mereka mempunyai masalah yang tak dapat dielakkan padahal sebenarnya mereka enggan melaksanakan janji mereka sendiri. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Berterus-teranglah wahai kaum lelaki kerana kaum wanita lebih menghormati mereka yang memiliki sifat berterus-terang ini. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini lama kelamaan akan membuatkan semua gadis akan menjauhi anda.

7. PERASAN

Aduhaiii… lelaki ini cepat perasan terutamanya jika mereka ini berkerjaya baik, berpenampilan menarik dan mempunyai wajah yang hensem. Boleh tu mengaku merekalah yang menjadi lelaki idaman para wanita. Tapi, mungkin pada pandangan seorang wanita mereka ini sederhana sahaja tapi mereka ini yang suka perasan lebih. Bukan semua wanita memandang pada paras rupa, kalau dah terlebih-lebih perasan tuu… Ada wanita yang lebih suka mengutuk dari memuji…

8. MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI

Susah juga kalau dapat yang mementingkan diri sendiri ni. Lelaki selalunya tidak mahu mengalah dan ingin menegakkan pendapat sendiri tanpa mempedulikan luahan pasangannya. Mereka juga suka mendahulukan kemahuan mereka dan jarang hendak mementingkan perasaan kekasih… Egolah katakan! Tidak semestinya pendapat kaum wanita ni tak boleh diguna pakai.

9. KURANG MEMBERIKAN PERHATIAN

Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian tidak kira dalam apa jua urusan. Tetapi kalau urusan yang berkaitan dengan dirinya sendiri, pantas pula melaksanakannya. Jika berkaitan teman wanita, alamatnya… mereka kurang mengambil perhatian. Mengapa ya? Kaum wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tetapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya kerana sifat semulajadi seseorang wanita itu yang ingin bermanja dan dimanjakan.

10. CEMBURU BUTA

Orang kata cemburu tandanya sayang, tapi kalau cemburu tak tentu pasal dan memanjang saja cemburu, tentu rasa tak selesa juga. Agaknya lelaki yang kuat cemburu ni takut kekasihnya terlepas ke tangan kumbang lain kot. Harus diingat, bukan semua perempuan suka kekasihnya kuat cemburu. Tapi, ada juga sesetengahnya suka apabila teman lelakinya cemburu kerana seolah-olah teman lelakinya amat menghargai dirinya. Jangan cemburu buta sudahlah, malas jugak nak layan kadang-kadang!

11. MATA DUITAN

Jangan tak tahu ada juga lelaki mata duitan atau pun gelarannya ‘lelaki spedo’. Mereka tak kisah nak kikis duit kekasih dengan 1001 macam alasan yang adakalanya tidak logik diterima dek akal fikiran. Kalau kisah perempuan mata duitan kita sudah biasa dengar, tapi kalau lelaki pula yang mata duitan… apa cerita ni?? Takkan masa-masa macam ni keegoan lelaki hilang pulak?!!

12. KOMITED TERHADAP KERJAYA

Susah kalau dapat teman lelaki yang terlalu komited dengan kerjaya. Mereka ni selalu sangat memberi banyak alasan kerja apabila diajak keluar. Kalau keluar bersama, selalu pula bercerita tentang kerja dan merungut sering dibebani kerja yang menimbun. Bukanlah tidak boleh lelaki mementingkan kerjaya tetapi pandai-pandailah membahagikan masa bersama teman wanita. Paling tidak pun, seminggu sekali luangkan masa menemaninya dan lupakan segala hal berkaitan kerja. Bukannya kaum wanita ni tidak memahami kalau teman lelakinya pandai membahagikan masa…

13. PANAS BARAN

Aduiii… masalah yang boleh menimbulkan fobia terhadap seseorang gadis apabila mendapat kekasih yang panas baran. Pantang silap sikit, mahu dihambur segala kemarahannya. Ada juga kesilapan bermula dari diri sendiri tetapi tetap menyalahkan orang lain. Setakat kena tengking boleh lagi diterima walaupun sebal satu badan tapi, bagaimana kalau siap sepak terajang? Kalau nak sepak terajang carilah mereka yang sepadan dan janganlah berlawan dengan kaum yang lemah bang! Di mana sifat bertanggungjawab dan kepimpinan yang ada? Cuba-cubalah kawal kerana setiap dari kita ada barannya, cuma kena pandai-pandai mengawallah. Kalau dah tak terkawal sangat, tak payah bercintalah cik abang oiii!!!

14. KAKI MEROKOK

Ini satu lagi sifat kaum lelaki yang melemaskan wanita. Asyik berasap sana sini, naik lemas dengan bau dan asap rokoknya. Dalam sehari adakalanya habis sekotak rokok. Kalau habiskan duit dengan makan benda berfaedah tak apa juga, ini tidak… asyik menyedut asap yang tidak menyehatkan. Kalau asap tu membawa kesan pada diri sendiri saja tak apa juga, ini tidak… membawa kesan juga pada orang sebelah menyebelah. Kadang-kadang teman wanita menegur bukannya apa, dia sayangkan kita juga dan tak mahu kita jatuh sakit. Lagipun mereka juga tak nak teman lelaki mereka membazirkan duit dengan merokok.

15. PENGOTOR

Ada segelintir lelaki sukar nak menyedari diri mereka ni ada yang pengotor. Terutama bab meludah atau membuang kahak merata-rata. Yarkkk!!! Ada juga yang jarang basuh seluar, pakai baju yang sama berulang kali, tidak memakai deodarant dan macam-macam lagi sampaikan badan sudah berbau semacam pun dia tak sedar. Tidakkah mereka ini terasa segan apabila menyedari badan sudah berbau?? Entahlah… hanya kaum lelaki yang bersifat pengotor ini saja yang dapat menjawabnya.

16. GELOJOH

Kalau bab makan, lelaki ni agak gelojoh. Macam ‘food machine’. Mereka lemas melihat teman wanita mereka makan terlalu sopan tetapi mereka tidak sedar cara mereka makan yang gelojoh juga melemaskan kaum wanita. Sepatutnya, samada lelaki mahupun wanita patutlah makan dengan bersopan. Buat apa terkejar-kejar?

17. PENTINGKAN KAWAN-KAWAN

Sanggup membatalkan temujanji semata-mata hendak bermain bola sepak ataupun menonton WWF bersama kawan-kawan. Lelaki juga selalu mementingkan kawan-kawan dalam banyak hal. Sekali-sekala bolahlah, jangan pula selalu saja memberi alasan hinggakan masa bersama teman wanita tiada langsung semata-mata untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Apa guna bercinta kalau macam tu gayanya? Kalau ada masalah pula, kawan-kawan sebagai tempat mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan si dia. Kalau dah memilih si dia sebagai kekasih, mungkin satu hari si dia juga akan menjadi isteri anda, jadi takkanlah anda selalu hendak merahsiakan sesuatu dari dia. Tak eloklah berbuat demikian, nanti si dia terasa seolah-olah dirinya tidak penting buat anda pula.

18. TIDAK TAHU MEGHARGAI

Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Mereka seboleh-bolehnya mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap meghargai mereka ini. Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan tu, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap anda yang menghargainya di atas apa yang cuba dilakukannya terhadap anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda.

19. PUTAR BELIT

Lelaki ni ramai yang pakar memutar-belitkan kenyataan walaupun ternyata sememangnya merekalah yang bersalah. Bagi mereka, putar belit ini tak mengapa asalkan si dia mempercayai alasan tersebut dan mereka akan terlepas dari kesalahan sendiri. Sekiranya anda benar-benar menyintai pasangan anda, perkara begini seharusnya tidak berlaku kerana apa akibatnya sekiranya si dia mengetahui juga tipu helah anda suatu hari nanti. Kalau anda tak pandai menyelamatkan keadaan, melepaslah anda! Jujurlah pada pasangan anda.

20. SUKA KONTROL MACHO

Peh! Nak dikatakan macho, ada juga yang tak. hancur je yang lebih kot! Terutama bab sikap, mahu lebih gentleman, berketrampilan dan hensem. Seboleh-bolehnya mereka mahu menampakkan yang diri mereka lelaki sejati dan ada elemen HERO. Tak perlulah nak merasakan diri anda macho kerana wanita sahaja yang layak membuat penilaian terhadap anda. Sekiranya anda rasa diri anda macho, tetapi pada mata wanita tersebut anda tidaklah semacho yang disangkakan, tak guna juga

Tip berkesan yang dapat membantu anda menjadi IBU SUPER!

Februari 26, 2008

Sepakat dengan suami perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan

Sesuatu yang perlu anda tahu ialah perkara yang dimarahi suami mestilah sama dengan perkara yang anda marahi. Sekalipun tidak sama, jangan sekali-kali anda membela anak di hadapan suami anda. Hal ini akan menyebabkan anak anda bingung. Sekiranya didapati suami melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, tunggulah pada masa lain untuk berbincang dengannya.
Jangan biar anak rasa terbela ketika membuat kesalahan. Sekiranya anda mengikuti asas ini, maka anda akan mendapati anak tidak akan melawan dan patuh. Saat itu, barulah kita boleh memujuk anak semula dan jelaskan bahawa perkara yang dilakukannya tadi adalah tidak boleh.
Sekiranya boleh, jangan sampai kedua-duanya suka berleter atau kedua-duanya suka marah-marah. Pernah terlihat keluarga yang ayahnya kurang memarahi anak tetapi sekiranya ayah itu meninggikan suara sedikit, anak akan terus ketakutan? Adakalanya juga dengan hanya menyebut nama penuh anak akan menyebabkan anak-anak cukup faham bahawa anda betul-betul sedang marahkan mereka. Justeru, paling penting adalah dengan menyemai rasa hormat anak kepada kita sebagai ibu bapa.

Menerapkan disiplin

Jika diperhatikan, banyak bahagian dalam buku ini adalah secara berjadual. Mengapa teknik ini digunakan? Teknik ini telah banyak menunjukkan testimonial yang sangat berjaya, iaitu di akhirnya, perkara yang terjadual menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Bukankah ini lebih baik daripada hidup tidak berdisiplin?
Anda perlu bersikap tegas terhadap anak-anak anda tetapi janganlah sehingga tiada lemah lembut langsung. Mereka ibarat tanah. Sekiranya tanah itu kasar, siramkanlah dahulu air untuk melembutkannya sedikit sebelum dicangkul. Sejak kecil lagi mereka perlu diberikan pengenalan atas perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka.

Hindari memukul anak sekiranya sedang marah

Ketika anda terasa sangat marah, cubalah kawal diri daripada memukul anak. Hal ini akan menyebabkan pukulan anda terlalu kuat dan hal ini akan membekaskan sesuatu dalam jiwa mereka. Kudrat semasa sedang marah sangat kuat dan akan menyebabkan anda akan terasa berkuasa memukul anak anda.
Kadangkala kita mempunyai masalah lain tetapi pada masa yang sama, anak kita melakukan perkara yang tidak kita sukai. Justeru, kemarahan kita tertumpah kepada si anak. Cubalah bertenang dan tarik nafas perlahan. Fikirkan semula adakah berbaloi sekiranya anda memukul anak yang melakukan kesalahan ketika anda sedang marah?

Ugutan dan herdikan

Sekadar mengugut tidak mendidik anak kerana selalunya kita tidak akan melakukan perkara yang kita ugutkan itu. Anak-anak akan menjadi lali kerana ibu bapa hanya tahu mengugut. Kemungkinan anak menjadi kurang rasa hormat kepada kita akibat daripada perbuatan tersebut.
Herdikan juga menimbulkan kesan yang tidak baik. Kebanyakan masa kita mengherdik, kita akan menggunakan ayat yang tidak sepatutnya. Kata-kata kita ialah doa. Bayangkan kita tega untuk mendoakan yang buruk-buruk kepada anak-anak kita dan kemudian memarahinya lagi.
Bayangkan kita menggunakan kata seperti, “Budak bangang!!” Sanggupkah kita mendoakan anak dengan perkataan kesat seperti ini? Sekalipun kesabaran kita memang benar-benar sedang diuji, mengapa tidak kita memilih untuk menggunakan cara yang berhikmah berbanding dengan kaedah seperti ini yang jelas tidak pernah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w?

Kaedah Rasulullah s.a.w dan sahabat mendidik anak

Bak kata pepatah English, ‘Spare the rod, spoil the child’. Menunjukkan tidak lengkap rumah itu tanpa ada rotan di dalamnya. Mari kita perhatikan daripada aspek pendidikan Rasulullah s.a.w terhadap anak-anak kecil.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka sekiranya tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur.”

(Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)

Berdasarkan daripada hadis ini, maka kita sepatutnya membiasakan anak-anak dengan amal ibadat wajib sedari kecil lagi. Hal ini adalah wajar bagi menanamkan rasa cinta akan Allah, mensyukuri nikmat-Nya, menyucikan jiwa anak, kesihatan fizikal dan akhlak, iaitu perbuatan dan perkataannya.
Saidina Ali juga berpesan supaya kita mendidik anak mengikut tahap kecerdikannya. Pesannya:
Pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya pada tujuh tahun selepas itu.
Hal ini bermakna kita hendaklah bermesra, bermain dan bergurau dengan anak yang berusia di bawah tujuh tahun. Selepas usianya tujuh tahun, kita wajar mendidik dan mendisiplinkan mereka serta diajarkan cara beribadah secara betul. Ketika ini juga hendaklah diajarkan menghormati hak orang lain dan menunaikan suruhan orang yang lebih tua.
Selepas usianya 14 tahun, kita perlu menjadi kawan mereka supaya mereka dapat merujuk masalah dan mengadu kepada kita jika berhadapan dengan masalah. Kebiasaannya pada usia ini, mereka akan mencari kawan lain sekiranya kita tidak menjadi kawan kepada mereka. Sekali mereka mencari kawan di luar, agak susah untuk kita menasihati mereka.
Dalam hadis di atas juga ada menyatakan bahawa jika keadaan memerlukan, kita dibenarkan merotan anak selepas dia berumur 10 tahun. Jadi, setiap kali terlintas untuk merotan, niatkanlah aku tidak akan merotan anak ini sehingga umurnya 10 tahun kerana mengikut perkara yang Rasulullah s.a.w katakan. Maka besarlah pahala kerana perlakuan ini.
Pakar psikologi menyatakan bahawa anak yang berumur 10 tahun ke atas sudah boleh memahami kesan hukuman yang dikenakan dan sebab perbuatan itu tidak dibenarkan. Hal ini bermakna jika kita memukul anak yang lebih kecil dari usia itu adalah hampir tiada gunanya atau akan mendatangkan kesan yang lebih buruk pula. Bukankah itu akan merugikan?
Semasa merotan, beritahu dahulu kesalahan yang telah dilakukan sehingga dia dihukum. Seeloknya, jangan merotan anak di hadapan orang lain. Hal ini akan menyebabkan anak berasa kecewa dan rendah diri. Sebelum merotan juga, pastikan anda pernah memberikan amaran awal bahawa sekiranya sesuatu yang anda suruh tidak dilakukan, kesannya dia akan dirotan.
Anda juga diingatkan agar jangan merotan untuk menyakiti tetapi merotan dengan tujuan memberikan pengajaran. Kawasan yang dirotan juga perlu dijaga dan jangan sewenangnya merotan anak di bahagian muka. Rotanlah di bahagian punggung kerana di situ tidaklah menyakitkan. Satu hayunan sahaja memadai untuk tujuan mendidik.
Walau bagaimanapun, jadikanlah merotan sebagai jalan terakhir. Hai ini kerana kebanyakan sunnah Rasulullah s.a.w adalah untuk mendidik anak-anak dengan kasih sayang bukan dengan pukulan. Cubalah menjadi waras sekalipun kita dalam keadaan marah yang amat sangat. Sekiranya kita telah memberikan pendidikan yang sewajarnya, pastinya rotan tidak diperlukan lagi.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 5: Suri Rumah Si Ibu dalam buku Manual Kerja Super Isteri. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www.books.perintis.com.my.

Teknik Bertengkar secara positif

Februari 26, 2008
Rasulullah bersabda, “Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga.”

(Riwayat Anas Bin Malik)

Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’

Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.

Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.”

(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.

Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.

Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:

1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.

3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.

4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.

5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.

6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.

8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.

9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, “Abang rasa sayang tak patut buat macam ni,” berbanding “Ni semua salah engkaulah!”

10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.

11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.

12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.

13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.

14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.

15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.

16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.

17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.

18. Pelukan dan kemaafan – Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dalam buku Manual Kerja Super Suami. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www.books.perintis. com.my.