Hari Kekasih – Elakkan termakan pujukan syaitan

by

Umat Islam kini berhadapan dengan cabaran dan ujian yang semakin rencam.
Biarpun penjajahan bentuk ketenteraan tidak lagi berlaku tetapi kita masih
diserang kiri dan kanan setiap hari.

Ini terutamanya melalui pelbagai promosi oleh golongan kufar yang tidak
senang terhadap orang Islam. Ini termasuk mengkomersialkan sambutan Hari
Kekasih pada setiap 14 Februari agar orang Islam turut sama merayakannya.

Sikap ingkar mereka dijelaskan menerusi firman Allah, Orang-orang Yahudi
dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai
Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong
itu)… (al-Baqarah: 120)

Kepada wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET, Dekan
Pembangunan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),
Muhammad Subari Ramli mengulas hal ini.

MEGA: Apakah konsep kasih sayang menurut Islam?

SUBARI: Islam meletakkan cinta yang paling agung adalah kepada Khalik atau
Pencipta iaitu Allah s.w.t. Bagaimanapun, pada masa yang sama Islam tidak
menolak naluri kasih sayang yang diciptakan kepada makhluk. Namun, kasih
sayang ini masih terbatas dan tidak boleh melebihi cinta kepada Pencipta.

Dalam konteks cinta yang merata ini ia meliputi bukan sahaja kepada tuhan,
manusia dengan manusia tetapi juga manusia kepada makhluk lain ciptaan
Allah. Contohnya kepada haiwan dan tumbuhan juga perlu diberi kasih sayang.
Cuma ia tentunya berbeza dengan kasih sayang sesama manusia.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis yang bermaksud, rahmatilah apa
yang ada di bumi maka yang di langit juga akan merahmati kamu.

Dalam Islam, bandingan kasih sayang Muslim itu ibarat satu tubuh apabila
dicubit paha kanan paha kiri pun terasa sakitnya.

Para sahabat Rasulullah dahulu semuanya mendahulukan cinta kepada Allah dan
Rasul melebihi diri sendiri. Mengapa perasaan begitu tidak ada lagi dalam
diri kita hari ini?

SUBARI: Antara sebabnya kita tidak lagi dibentangkan dengan kisah-kisah
iktibar seperti cintanya khalifah Abu Bakar kepada Rasulullah s.a.w yang
melebihi daripada cinta kepada diri sendiri.

Demikian juga kerelaan Saidina Ali menggantikan Rasulullah s.a.w di tempat
tidurnya dalam peristiwa hijrah Baginda bersama Abu Bakar. Pada logik akal,
sudah tentu menjadi pengganti Rasulullah s.a.w itu bakal berhadapan maut
tetapi kerana kasihkan Baginda, Saidina Ali sedia berkorban.

Namun, kini kita sering dibentangkan dengan slogan seakan-akan keagungan
cinta sesama manusia itu melebihi daripada yang lain. Ia disajikan kepada
kita hampir setiap hari menerusi media massa terutamanya menerusi
televisyen seperti filem-filem hindustan dan sebagainya.

Pendek kata, kita tidak ada asuhan dalam konteks pembinaan akidah bagi
merasai atau memberi kasih sayang dalam erti kata mentaati Pencipta.

Malah, apa yang sering berlaku, apabila menonton filem hindustan ramai yang
melewat-lewatkan solat dan mungkin juga ada yang terlepas solat dek asyik
menonton. Lebih malang lagi, mungkin inilah sikap orang dewasa khususnya
ibu bapa yang kemudiannya diteladani oleh anak-anak.

Dalam ayat 120 al-Baqarah ditegaskan tentang orang kafir itu tidak akan
reda selagi kamu tidak mengikuti mereka. Namun, masih ada umat Islam yang
terpengaruh dengan perbuatan golongan kafir antaranya menyambut Hari
Kekasih. Kenapa ini masih berlaku?

SUBARI: Pertama, kita perlu bentangkan maklumat sebenar tentang kisah Hari
Kekasih ini. Melalui sejarah Valentine meskipun mempunyai pelbagai versi,
jelas ia dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan
Valentine’s Day untuk memperingati kematian tragis seorang Paderi iaitu St.
Valentine yang dibunuh oleh Raja Romawi yang bernama Raja Claudius II
(268-270M).

St. Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan ramai askar secara rahsia
sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin
atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Dia juga adalah ikon kasih sayang yang diwujudkan oleh Pope Gelasius I
(496M) untuk mendekatkan masyarakat Rom kepada agama Kristian melalui satu
sambutan perayaan gereja. Ia juga bagi menyaingi perayaan Paganisme Romawi
kuno iaitu Lupercalia (perayaan untuk Dewa Lupercius dengan mempersembahkan
korban binatang).

Apabila fakta ini sudah dibentangkan maka remaja Islam khususnya boleh
membaca dan memahami mengapa Islam melarang sambutan Hari Kekasih.

Kedua, pada masa yang sama, media boleh membantu dengan mengurangkan aspek
komersial program-program yang menjurus kepada ikutan agama lain.

Mengikut sejarah, orang Nasrani pun tidak merayakan hari ini tetapi apabila
dikomersialkan maka sambutannya terus melonjak. Seolah-olah ia mesti
dirayakan setiap tahun.

Ketiga, kita juga perlu menjelaskan hukum Islam terhadap sambutan ini.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pada tahun 2004 menyatakan bahawa
menyambut Hari Kekasih adalah diharamkan.

Apabila ada unsur ritual agama lain dan kita pula sama-sama raikannya,
seakan-akan kita reda dengan perbuatan menyekutukan Allah (syirik)
sedangkan syirik adalah dosa yang tidak terampun.

Ini ditegaskan dalam mafhum-Nya, Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan
dosa orang yang mempersekutukan- Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan
(dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki- Nya…
(al-Nisa’: 116).

Ada yang mendakwa perbuatan menyambut Hari Kekasih ini hanyalah budaya dan
suka-suka bukannya melibatkan akidah. Betulkah pendapat begini?

SUBARI: Pendapat sebegini adalah berdasarkan nafsu semata-mata. Lazimnya,
orang bercinta atau sedang angau akan ketepikan fikiran yang waras.

Ijmak ulama memutuskan bahawa keterlibatan seseorang dalam ritual agama
lain adalah salah satu unsur fasik dan merosakkan akidah.

Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w mengingatkan, “Barang siapa menyerupai
satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Daud)

Pendek kata, umat Islam tidak boleh mencampur-adukkan akidah dan
peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain.

Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud, Katakanlah (wahai Muhammad):
Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu
tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan
beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara
aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku. (Al-Kafirun:
1-6)

Tetapi kalau kebetulan kita membeli hadiah untuk isteri atau suami tanpa
niat sambut Hari Kekasih itu tidak salah. Yang penting jangan ada niat
walau sedikitpun untuk meraikan hari tersebut.

Kalau ada sedikit niat untuk sama-sama meraikannya, maka hendaklah
cepat-cepat kita sedar dan beristighfar. Sebabnya, perkara ini walaupun
nampak enteng tetapi menjejaskan akidah.

Jangan kita diperdayakan oleh syaitan yang telah bersumpah memperelokkan
maksiat kepada kita dalam usaha menyesatkan umat Islam. Ini ditegaskan oleh
Allah dalam surah al-Hijr ayat 39.

Bagaimana pula Islam mengajar umatnya dalam berkasih sayang terutama kepada
ibu bapa, suami isteri dan keluarga?

SUBARI: Pertama, Islam tidak ada tempoh masa tertentu untuk kita pamerkan
kasih sayang. Sayangnya, dalam masyarakat Melayu ada kecenderungan hanya
pilih waktu tertentu contohnya mohon maaf hanya bila tiba Hari Raya
Aidilfitri.

Sebenarnya, kasih sayang ini perlu ditunjukkan setiap masa. Contohnya kasih
kepada isteri dan anak-anak. Orang muda mestilah mengasihi yang lebih tua
dalam erti kata menghormati mereka.

Kedua, motivasi berkasih sayang berdasarkan tuntutan agama. Kita
mengasihani mereka kerana agama ini menuntut demikian. Bukan kerana harta
mereka atau sebagainya.

Malah, ketaatan kita juga tidak melampau sehingga sanggup melakukan
kejahatan atau maksiat semata-mata memenuhi kehendak mereka.

Ketiga, pamerkan kasih sayang kita. Tunjukkan melalui tutur kata dan
tindakan yang baik. Pendek kata, tunaikan segala tanggungjawab yang
dianjurkan oleh syarak kepada mereka. Lebih daripada itu, tidak salah
mempamerkannya sekali-sekala melalui pemberian hadiah atau ucapan cinta.

Allah yang Maha Pencipta tetap mengasihi hamba-Nya tanpa perlu sebab atau
balasan. Malah Allah tetap melimpahi nikmat walau dibalas dengan
kemungkaran. Di sinilah beza kasih kita berbanding sifat Maha Pengasih
Pencipta.

kiriman:

alma.qa

Satu Respons to “Hari Kekasih – Elakkan termakan pujukan syaitan”

  1. londra Says:

    ξέρετε οποιεσδήποτε πληροφορίες για αυτό το θέμα σε άλλες γλώσσες;

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: