Arkib bagi Kategori ‘Mas Kahwin: Antara boleh dan berkat’

Mas Kahwin: Antara boleh dan berkat

Februari 8, 2008

Mas Kahwin: Antara boleh dan berkat
Posted on Tuesday, February 05 @ 06:54:26 MYT by SongkokPutih
Bicara Agama Oleh al-bakistani

“Dalam MyMetro yang bertarikh 4 Febuari 2008, isnin dimuka hadapan dipaparkan satu berita yang menarik untuk dibaca, iaitu berita yang bertajuk “Menantu beri cek palsu”.

Dalam paparan berita tersebut, dinyatakan berkenaan dengan seorang Pemuda yang berumur 23 tahun yang telah menyerahkan cek palsu kepada mertuanya, sebagai penyerahan Mas Kahwin ketika menikahi anak gadis yang berumur 21 tahun[1]. 

Membaca berita tersebut, aku berfikir sejenak memikirkan punca perkara ini terjadi. Jika dilihat kepada isi kandungan berita tersebut, ibu mangsa menyatakan bahawa dia dimaklumkan bahawa pemuda tersebut telah melakukan tindakan yang sama sebelum ini kepada dua gadis yang lain. 


Padaku, kenyataan ibu mangsa itu ada kemungkinan benarnya, dan ada kemungkinan tidak benar, ini adalah kerana, bagaimana mungkin dua kali dilakukan sedangkan belum terdapat berita seperti ini berlaku disamping dilihat kepada umur pemuda itu baru sahaja mencapai 23 tahun.


Dari berita sebegini, aku tidak melihat itu sebagai punca yang menyebabkan kejadian sebegini boleh berlaku, tetapi pada pengamatanku yang melihat kepada kawan-kawan yang ingin berumah tangga, aku agak dapat mengagakkan sesuatu yang sebenarnya berlaku disebalik kejadian tersebut, walaupun kemungkinan agakkanku itu tidak tepat.

BERLAGAK KAYA 

Malaysia dianggap sebagai Negara yang kaya. Ini dilihat kepada bangunan yang mencakar langit, disamping ucapan pemimpin-pemimpin Negara yang agak “takabbur” di Negara-negara luar. Aku masih ingat, semasa di Mesir, kerajaan Mesir telah menetapkan agar pelajar Malaysia membayar Yuran pendaftaran masuk Universiti  sebanyak lebih kurang RM 400 kepada Universiti Al-Azhar, sedangkan sebelum ini, Yuran pendaftaran kemasukan Universiti hanya 3 Junaih (lebih kurang  RM 2.50) sahaja. 

Ketika bertanya kepada pegawai pendaftaran, beliau menjawab, pemimpin Negara kamu kata, negara kamu kaya, masakan tidak dapat membayar yuran pendaftaran yang ditetapkan?.

Mendengar kenyataan itu, aku agak dapat memahami mengapa kejadian ini boleh berlaku. Ianya lanjutan dari beberapa orang menteri yang telah datang ke Mesir ketika itu dan mengeluarkan beberapa statement yang menyatakan Malaysia sebuah Negara yang kaya.


Apa yang berlaku ketika itu, ramailah pelajar-pelajar Malaysia yang tidak dapat melakukan pendaftaran masuk melainkan setelah mendapat bantuan hutang dari kawan-kawan.


Berlagak kaya ini telah merebak kepada masyarakat melayu dalam menetapkan mas kahwin dikala anak perempuan mereka dipinang oleh si jejaka. Disamping itu juga, dilihat kepada artis-artis yang berkahwin yang mendapat liputan media massa yang agak meluas dengan “hantaran” yang agak mengejutkan, menyebabkan ramailah orang melayu Islam mahu meniru.

Dengan keadaan sedemikianlah, maka berlakulah penetapan “hantaran” yang kadangkala mengejutkan sedangkan si jejaka tidak mampu untuk menyediakan semua itu melainkan perlu kepada bekerja bertahun-tahun terlebih dahulu, atau terpaksa berhutang.

Keadaan inilah menyebabkan, ramailah si jejaka yang telah meletakkan perasaan yang terlalu ingin berkahwin melakukan apa sahaja tindakan agar dapat memperisterikan kepada si dara yang dicintainya itu, yang kadangkala, tindakannya sebenarnya mengaibkan sehingga berita tindakannya itu masuk kedalam akhbar bacaan harian yang dimuatkan pula di muka surat hadapan.

HANTARAN YANG MEMBEBANKAN

Aku tidak menafikan fungsi “hantaran” yang diamalkan dikalangan masyarakat melayu. Ada sebilangan ulama-ulama melayu menyatakan, amalan itu perlu dilakukan disebabkan bersandar kepada kaedah fiqh yang berbunyi;

 الْعَادَة مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya;
          “adat yang dijadikan hukum” (Al-As’bah wa An-Nazair : 1/164)

Bermakna, apabila amalan “hantaran” ini menjadi kebiasaan dikalangan masyarakat melayu, maka hantaran itu perlu disediakan. Padaku, kaedah itu tidaklah salah, tetapi yang salah pada cara penyesuaian hukum yang hendak dilaksanakan di kalangan masyarakat.

Apa yang pasti, kaedah ini disandarkan kepada satu hadis yang mauquf, iaitu hadis dari Abdullah bin Mas’ud yang mengatakan;

 مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ

Maksudnya;
          “Apa yang orang islam lihat cantik, maka ianya pun cantik disisi Allah SWT” (Al-Mustadraq ‘Ala Sahihain : 4439)

Dari itu, apabila dilihat kepada budaya masyarakat melayu, mas kahwin tidak dijadikan isu sangat, disebabkan mas kahwin telah menjadi sesuatu yang telah ditetapkan di setiap negeri-negeri, yang kadarnya tidaklah membebankan. 


Tetapi, apa yang pastinya, masyarakat kita bermain dengan “hantaran” yang agak lumayan. Ianya diletakkan kepada pengantin lelaki dengan kadar yang membebankan.


Dengan keadaan itulah menyebabkan, ramailah si jejaka yang ingin  memperisterikan si dara terpaksa menunggu untuk mencari kewangan bagi menampung “hantaran” yang ditetapkan itu.

dalam keadaan itulah, mereka sudah tidak “tahan” menyebabkan kadangkala berlaku zina diantara mereka, berpasang-pasangan ke hulu dan ke hilir, berkhalwat ditasik-tasik dan sebagainya.


Melihat keadaan inilah, adakah dikira cantik lagikah disisi Allah hantaran yang membebankan itu? jika baik, masakan Allah mengizinkan maksiat sebegini berlaku?


Inilah persoalan yang perlu bermain di kepala setiap ibu bapa yang mempunyai anak gadis yang akan dipinang oleh jejaka yang bakal menjadi suami anak gadis mereka.


MAS KAHWIN MURAH ADALAH BERKAT


Tidak dinafikan, memang diizinkan kita hendak memahalkan mas kahwin mengikut kadar yang kita mahu. 

Firman Allah;

 وَآَتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا

Maksudnya;
          “kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka (isteri) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali dari padanya barang sedikitpun”

(Surah An-Nisa’ : 20)


Juga tidak dinafikan, Saidina Omar pernah meminta agar para muslimat di zaman beliau menurunkan harga mas kahwin serendah 400 dirham, tetapi dibantah oleh seorang muslimat dengan katanya;

يا أمير المؤمنين، نَهَيْتَ الناس أن يزيدوا النساء صداقهم  على أربعمائة درهم؟ قال: نعم. فقالت: أما سمعت ما أنزل الله  في القرآن؟ قال: وأي ذلك؟ فقالت: أما سمعت الله يقول: { وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا

Maksudnya;
          “Wahai Amir Al-Mu’minin, adakah kamu melarang manusia bahawa perempuan menaikan harga mas kahwin mereka melebihi 400 dirham? Berkata (Omar) : benar. Berkata (perempuan), adakah kamu tidak mendengar firman Allah dalam Al-Quran? Berkata (Omar) : apakah ia? Berkata (perempuan) : adakah kamu tidak mendengar firman Allah (yang bermaksud) “kamu telah memberikan kepada seseorang diantara mereka (isteri) dengan harta yang banyak”. (Tafsir Ibni Kathir : 2/243)


Dari ayat al-Quran dan athar yang dinyatakan ini merupakan hujjah untuk menyatakan dibenarkan kepada kita untuk memahalkan kadar mas kahwin.
 Pun begitu, apa yang ingin dinyatakan dalam tulisan ini adalah, apakah lebih baik si perempuan memilih jalan yang menyenangkan kepada si jejaka. Iaitu jalan senang yang membawa kepada keberkatan.


Memudahkan mas kahwin merupakan jalan kemudahan yang membawa kepada keberkatan seperti yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW;

إن أعظم نساء أمتي بركة أقلهن مهرا

Maksudnya;

“Sebesar-besar berkat perempuan dikalangan umatku adalah serendah-rendah mas kahwinnya” (Musnad As-Syihab Al-Qida’ii : 1065)


Dan juga sabda nabi SAW;

أيسرهن مهرا أكثرهن بركة

Maksudnya;
          “semuda-mudah mereka mas kahwin, sebanyak-banyak mereka berkat” (Fatawa Muasarah : 1/447)


Begitujuga, melihat kepada amalan salaf soleh yang mengahwinkan anak mereka dengan tidak melihat kepada kadar kemampuan si jejaka membayar mas kahwin, tetapi melihat kepada kadar ketaqwaan si jejaka kepada Allah SWT.


PENUTUP

Pernah aku bersembang dengan sebilangan “orang-orang tua” tentang perkara ini, tetapi responnya agak negative. Mereka menimbulkan cerita omar untuk menegakkan amalan mereka itu.


Aku berfikir, mereka berhujjah dengan kisah omar untuk hendak dimahalkan hantaran atau mas kahwin, tetapi dalam masa yang sama, apabila melihat kepada anak-anak gadis dan anak jantan mereka, masakan aurat, bahkan ke hulu ke hilir bersama dengan pasangan masing-masing pun mereka tidak endahkan.


Kalau keadaan inilah berlaku, padaku, membiarkan keadaan anak-anak mereka yang bercampur lelaki dan perempuan merupakan perkara haram. Dan sekiranya percampuran itu berpunca dari melambatkan mereka kahwin lantaran mas kahwin atau hantara yang terlalu mahal yang di tetapkan, maka penetapan mas kahwin dan hantara yang mahal itu adalah perkara yang haram.

Akhir dari tulisan ini, aku ingin berpesan kepada diriku dan pembaca-pembaca sekelian dengan satu hadis Nabi SAW;

 إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya;
          “Apabila datang kepada kamu orang yang kamu suka akhlak dan agamanya, maka kahwinilah dia, jika tidak, kamu telah membiarkan berlakunya fitnah di bumi dan kerosakan yang terbentang” (Sunan Ibni Majah : 1957)

Sekian 


Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani

http://al-bakistani .blogspot. com

abu_abdillah_ azzam@yahoo. com


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.